Mengikut laporan Berita Harian lagi, di negara ini bank sperma sebenarnya telah wujud sejak beberapa tahun yang lalu, yang dikendalikan hospital swasta dengan menawarkan sperma kepada pasangan tidak subur untuk mendapatkan anak. Setakat ini, tiada peraturan khusus mengenainya dan sebab itulah cadangan Kementerian Kesihatan untuk menggubal undang-undang berhubung perkhidmatan bank sperma amat dialu-alukan. Walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan (INFAD) sudah mengharamkan perkhidmatan bank sperma, setakat ini tiada peruntukan undang-undang menghalang perkhidmatan hospital swasta menawarkan sperma kepada pasangan tidak subur untuk mendapatkan zuriat. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican berkata, “kementerian itu sedang memperincikan segala aspek berhubung perkara ini, termasuk dari perspektif agama, moral, institusi keluarga dan etika kerana isu berkenaan amat sensitif.” Kebimbangan ini turut dikongsi Presiden Persatuan Perubatan Islam, Prof. Madya Dr Abdul Latiff Mohamad yang berkata, “sehingga kini belum ada akta diwujudkan bagi menjelaskan kesahihan bank sperma ini kepada masyarakat sekaligus mengundang kontroversi serta kekeliruan di kalangan umat Islam hubungan perkahwinan yang wujud ini bukanlah semata-mata untuk mendapatkan kepuasan seks, tetapi merupakan satu kedudukan untuk meleraikan keturunan manusia secara sah” Oleh sebab itu, mana-mana anak yang dilahirkan hasil dari perkahwinan yang sah adalah anak sah taraf. Anak tersebut dikatakan mempunyai nasab yang sah dari segi hukum syara’, berbeza dengan anak zina yang tidak boleh dihubungkan dengan mana-mana nasab. Islam memandang penting akan hubungan perkahwinan atau persetubuhan sah ini kerana ia melibatkan banyak lagi hukum lain yang muncul darinya seperti nasab, aurat, harta pusaka dan sebagainya.
Hukum kewujudan bank sperma itu terletak pada hukum-hukum yang dibenarkan, maka hal ini tidaklah dengan sendirinya menjadi satu keharaman, selama mana bank tersebut mematuhi hukum syara’ dari segi operasinya. Ini kerana dari segi hukum, boleh sahaja mana-mana suami menyimpan air mani mereka di dalam bank ini untuk disenyawakan dengan sel telur isterinya apabila keadaan memerlukan (sebagaimana perbincangan di atas). Namun begitu, sperma itu mestilah dihapuskan sebaik sahaja si suami telah meninggal. Sperma tersebut juga mesti dihapuskan jika telah berlaku perceraian (talaq ba’in) di antara suami isteri. Di dalam kedua-dua kes ini (kematian suami dan talaq ba’in), jika (bekas) isteri tetap melakukan proses persenyawaan dan memasukkan sel yang telah disenyawakan itu ke dalam rahimnya, maka dia (termasuk doktor yang mengetahui dan membantu) telah melakukan keharaman dan wajib dikenakan ta’zir. Oleh kerana hal ini (kewujudan bank sperma) adalah satu perbincangan yang menyentuh dasar negara, maka samada ingin mewujudkan atau tidak bank sperma, ini adalah termasuk bidangkuasa khalifah sebagai Ketua Negara untuk memutuskannya. Oleh kerana kewujudannya adalah mubah, maka boleh saja bagi Khalifah memilih samada untuk mewujudkannya atau tidak. Jika ia tidak diwujudkan sekalipun, bukanlah bermakna khalifah itu menghalang kewujudan proses bayi tabung uji, cuma yang tidak diwujudkan adalah bank sperma, bukannya proses perubatan melalui bayi tabung uji.
Sensitiviti umat Islam mengenai isu ini halal dan haram, bukannya ukuran lain. Sebenarnya Umat Islam begitu mengambil berat isu-isu sensitif jika di dalam makanan mereka terdapat unsur-unsur yang haram seperti lemak babi, alkohol, najis dan sebagainya. Dalam isu bayi tabung uji ini juga seharusnya kita akui bukan perkara yang diharamkan selagi mengikut hukum berlandaskan syara’ seiring dengan arus perkembangan sains dan teknologi.
0 ulasan:
Catat Ulasan